Mahkamah benar kes dipindah, kekal pengakuan tak bersalah

Mahkamah benar kes dipindah, Alif Teega kekal pengakuan tak bersalah

Alif Teega
ALIF Teega ditemani Aisyah Hijanah Azhari meninggalkan Mahkamah Sesyen selepas menghadiri prosiding sebutan semula terhadap dua lagi pertuduhan dihadapinya di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan dua pertuduhan dihadapi pempengaruh media sosial, Alif Teega berkaitan penyalahgunaan wang infak berjumlah RM63,605, dipindahkan di sini, bersama-sama 10 pertuduhan serupa melibatkan wang RM1.52 juta.

Dalam prosiding sebutan semula di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin, tertuduh atau nama sebenarnya Mohd. Hazalif Mohd. Hazani mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut seperti mana dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Susulan pengakuan tersebut, hakim turut membenarkan jumlah jaminan RM50,000 yang dikenakan sebelum ini dilanjutkan.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan sebutan semula bagi pengurusan kes dan penyerahan dokumen dibuat pada 27 November ini bersekali dengan 10 pertuduhan lain selepas permohonan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin.

Berdasarkan pertuduhan, Alif Teega, 30, didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM36,047.35 dan RM27,558.13 masing-masing bertujuan infaq iftar di Mekah, Syria dan Palestin serta program ‘Jom Sertai Infaq Daging Qurban’.

Kesemua kesalahan itu dilakukan dekat sebuah cawangan bank sama di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur pada 26 April dan 15 Jun lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan sebatan dan juga boleh dikenakan denda.

Pada 23 September lalu, Alif Teega dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang infak lebih RM1.52 juta tiga tahun lalu.

Wang tunai itu antaranya bagi tujuan infak Projek Kurma, al-Quran di Masjidil Haram dan Nabawi, pek makanan bagi fakir miskin di Mekah dan Madinah, bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu (Set pakaian muslimah), set pakaian pakaian raya anak yatim serta sedekah pek makan dan sedekah qurban. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya