KLANG: Lima penyamun bersenjata dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 seorang selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjaya pada 3 Oktober lalu.
Kesemua tertuduh iaitu P. S Tamil Kumaran, S. Nagen, G. Siva, R. Thamilarasan dan M. Linggeshwaran membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan secara bersama ke atas mereka.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh berusia 23 hinggga 38 tahun itu didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata parang dekat sebuah banglo di Jalan Jagong, Pandamaran, di sini, pada 3 Oktober.
Rompakan tersebut dilakukan pada pukul 6.16 pagi terhadap seorang lelaki berusia 54 tahun, berupa pelbagai patung berhala dengan bernilai keseluruhan RM74,500.
Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran kemudian berkata, tiada tawaran jaminan diberikan kerana rompakan yang dilakukan adalah kesalahan ‘non-bailable offence’.
“Kesalahan yang dilakukan adalah serius sebab melibatkan rompakan bersenjata. Justeru tiada tawaran jaminan diberikan,” katanya.
Bagaimanapun peguam yang mewakili tertuduh memohon jaminan diberikan kerana walaupun kesalahan dilakukan adalah ‘non-bailable offence’, namun mahkamah dengan budi bicaranya boleh membenarkan tertuduh diikat jamin.
Justeru, lanjutan mitigasi oleh peguam-peguam mengemukakan rayuan masing-masing bagi membolehkan anak-anak guam mereka dibebaskan dengan jumlah jaminan yang minimum.
Bagi tertuduh M. Linggeshwaran, 23, sebelum ditahan dia sedang mencari kerja bagi menanggung keluarga termasuk ibunya mengidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit belakang yang mempunyai pendapatan RM2,000 sebulan, sementara kakak masih belajar.
P. S. Tamil Kumaran, 38, pula merupakan orang kurang upaya (OKU) iaitu hilang penglihatan mata kanan akibat kemalangan teruk pada 2012, namun hilang pekerjaan sebagai kelindan lori selepas ditahan dan akui sukar dapat kerja kerana masalah fizikal itu.
Bagi G. Siva, 33, dan R. Thamilarasan, 33, masing-masing merupakan penanggung tunggal keluarga. G. Siva sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 13 masih bersekolah dan R. Thamilarasan pula menjaga ibunya yang menghidap kanser.
Kedua-dua tertuduh itu bekerja sebagai pengawal keselamatan dan kelindan lori sebelum ini dengan pendapatan sebulan sebanyak RM2,000 dan RM1,500.
Sementara S. Nagen, pula bekerja sebagai penghantar barang dengan pendapatan kira-kira RM30 sehari serta perlu menanggung kedua orang tua dan dalam masa sama bapanya mengalami strok.
Malah pembelaan turut menyatakan tujuan jaminan juga bagi membolehkan kesemua tertuduh dapat menyambut perayaan Deepavali pada 31 Oktober ini.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan kemudian mencadangkan tawaran jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan iaitu lapor diri di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicara.
Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar kemudian membenarkan ikat jamin dibenarkan sebanyak RM10,000 bagi setiap penjamin serta mematuhi syarat tambahan ditetapkan.
Dalam prosiding tersebut, pasukan pembelaan terdiri daripada S. K. Loges Kesavan yang mewakili P. S Tamil Kumaran dan S. Nagen, sementara Mohamad Fauzi Abdul Samad pula mewakili S. Ganesan dan R. Thamilarasan. Sementara M. Linggeshwaran pula diwakili peguam Reenajit Kaur Golen.
Mahkamah menetapkan 8 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis menumpaskan kumpulan jenayah terancang, ‘Geng Casa’ yang aktif menyamun dan pecah rumah sejak setahun lalu tumpas selepas ketua dan sembilan ahlinya diberkas polis di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Kumpulan itu sebelum ini dilapor merompak sebuah banglo di Pandamaran dan melarikan wang tunai serta barangan bernilai sehingga RM600,000.
Kejadian kira-kira pukul 5 pagi, 3 Oktober itu itu turut mengakibatkan seorang mangsa lelaki berusia 37 tahun cedera akibat ditetak pada bahunya oleh suspek. – UTUSAN