Lelaki dakwa ‘tidak sedar’ ketika cabul pelancong

Lelaki dakwa ‘tidak sedar’ ketika cabul pelancong

TERTUDUH diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan menarik seluar seorang pelancong wanita dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Tertuduh, Ridhwan Shah Abdullah, 42, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah menarik seluar seorang wanita berusia 44 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.57 pagi di bilik bernombor di sebuah rumah tamu di Jonker Walk dalam daerah Melaka Tengah, pada 19 Oktober 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama anak perempuan dan cucunya tidur di bilik berkenaan yang tidak dikunci untuk memudahkan suaminya yang menginap di bilik berasingan menggunakan tandas.

Ketika sedang tidur, tertuduh telah memasuki bilik mangsa dalam keadaan bogel dan naik ke atas katil, seterusnya cuba melondehkan seluar mangsa.

Mangsa yang pada mulanya menyangka tertuduh adalah suaminya kemudian menolak badan tertuduh lalu menjerit menyebabkan anak perempuannya tersedar dan membuka lampu.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan RM7,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan tidak sedar ketika kejadian berlaku dan tiada telefon bimbit untuk menghubungi penjamin.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 5 Disember ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya