Kontraktor didenda RM20,000, mengaku jual pingat Datuk

Kontraktor didenda RM20,000, mengaku jual pingat Datuk

LOW KIA SENG (tiga dari kiri) dan Patrick Tan Peng Sin (dua dari kiri) diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang kontraktor didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan menipu seorang ahli perniagaan berkaitan pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk, tujuh tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Low Kia Seng, 58, sejurus dua pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang individu berusia 38 tahun dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh membantu mendapatkan pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka iaitu Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk dengan membayar sejumlah bayaran, tetapi mangsa tidak memperoleh kurniaan tersebut secara sah.

Tertuduh turut didakwa secara tidak jujur menipu ahli perniagaan itu sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang melalui tiga transaksi ke akaun Public Bank Berhad milik tertuduh, berjumlah RM40,000 yang mana mangsa tidak akan menyerahkan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan di sekitar daerah Melaka Tengah antara 1 Januari 2017 dan 30 November 2018.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athirah Zainudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Kamarulzaman.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan pilihan dan memutuskan pertuduhan secara tidak jujur menipu ahli perniagaan  sebagai take into consideration (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Sementara itu, dalam prosiding sama, seorang pegawai khidmat pelanggan di Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah menerima barang berharga daripada kontraktor syarikat pengiklanan bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh, Patrick Tan Peng Sin, 34, dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya