Kes Norjuma dibicara April dan Mei 2025

Kes Norjuma dibicara April dan Mei 2025

Norjuma Habib Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes membabitkan usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed yang didakwa atas empat pertuduhan mencederakan dua individu dan melakukan khianat mula dibicarakan tahun depan di tiga Mahkamah Majistret di sini.

Di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan, mahkamah menetapkan 28 dan 29 April 2025 untuk perbicaraan bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan menendang betis kaki kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram di sebuah pusat tuisyen di Bukit Damansara di sini, pukul 3 petang pada 29 Mac 2018.

Sementara itu, di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan, mahkamah menetapkan 5 dan 6 Mei tahun depan bagi perbicaraan bekas pengacara televisyen itu bagi dua pertuduhan khianat iaitu merosakkan palang keluar masuk kenderaan dan kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah kondominium di Taman U-Thant di sini, pada pukul 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada bulan sama, di hadapan Majistret Haneefa Arifin, mahkamah menetapkan 13 dan 14 Mei 2025 bagi pertuduhan Norjuma menyebabkan kecederaan ke atas Mohd. Afiq Ismail, 34, di premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang di sini pada pukul 8.43 malam, 21 Februari 2017.

Perbuatan itu dikemukakan mengikut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Norjuma turut menghadapi satu lagi pertuduhan yang menyebabkan kecederaan iaitu menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada pukul 10.30 pagi 18 Oktober 2021.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 11 November ini bagi serahan dokumen sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan bagi pertuduhan berkenaan.

Bagi kesemua prosiding, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri, Amreetpreet Kaur dan Pegawai Pendakwa Shazwan Hasifi Shahrun manakala Norjuma diwakili peguam bela, Faiz Kamal Jaafar.

Terdahulu, Syafika Azwa dan Amreetpreet memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan Norjuma untuk semua kes dibicarakan bersama telah ditolak.

“Permohonan itu ditolak kerana saksi dan mangsa dalam kes itu adalah berbeza,” kata Amreetpreet.

Pada 25 April lalu, Norjuma, 44, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan dan khianat yang didakwa ke atasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya