Intai anak jiran mandi, peniaga direman tiga hari

Intai anak jiran mandi, peniaga direman tiga hari

SUSPEK diiringi anggota polis ketika dibawa untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang peniaga direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan selepas dipercayai merakam seorang wanita yang juga anak jirannya sedang mandi menggunakan telefon bimbit, minggu lalu.

Perintah reman sehingga 5 September ini dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Melaka, Loh Xian Yi terhadap suspek lelaki berusia 54 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, perbuatan lelaki itu disedari pengadu berusia 27 tahun ketika sedang mandi di bilik air di rumahnya di Taman Seri Duyong di sini, kira-kira pukul 9 malam pada 26 September lalu.

“Pengadu menyedari ada orang merakam ketika dia sedang mandi selepas ternampak kelibat tangan seseorang sedang memegang telefon bimbit melalui tingkap bilik air. 

“Wanita itu terus menjerit dan memberitahu adik lelakinya yang kemudian keluar untuk memeriksa tetapi suspek telah melarikan diri,” katanya.

Tambah Christopher, selepas itu pengadu bersama bapanya melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Berdasarkan rakaman CCTV suspek dilihat menceroboh dengan memanjat pagar di belakang rumah. Pengadu terus membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan aib diri serta keluarganya.

“Lelaki itu kemudian datang ke balai polis sebelum ditahan pada pukul 8.30 malam semalam dan direman tiga hari bermula hari ini sehingga Sabtu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN