MELAKA: Gara-gara terdesak untuk melangsaikan hutang along, seorang ibu sanggup berbohong kepada anak kandungnya dengan mendakwa dirinya diculik untuk meminta wang tebusan bernilai RM70,000, semalam.
Wanita berusia 55 tahun itu turut menyamar sebagai penculik dirinya sendiri dan menghantar pesanan teks berbaur ugutan kepada anak lelakinya agar tidak membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek dan anaknya berumur 22 tahun pergi ke sebuah pasar raya di Bandaraya Melaka di sini kira-kira pukul 11.15 pagi, sebelum si ibu turun dari kereta dengan alasan ingin membayar bil telefon.
“Anak lelaki suspek yang merupakan pengadu dalam kes ini diminta untuk tunggu dalam kereta sementara suspek keluar untuk membayar bil telefon. Selang beberapa minit, pengadu telah mencari ibunya di pasar raya itu selama lebih sejam.
“Selepas itu, si anak menerima mesej daripada nombor telefon ibunya kononnya wanita itu telah diculik dan diminta menyediakan RM70,000 jika tidak mahu si ibu dibunuh. Anaknya turut diberi amaran agar tidak membuat laporan polis,” katanya.
Tambah Christopher, wanita itu ditahan di surau sebuah stesen minyak di Jalan Sulaiman, Muar, Johor pada pukul 3.30 pagi hari ini.
Katanya, hasil soal siasat dijalankan, wanita itu mengakui bahawa kejadian dirinya diculik adalah palsu.
“Punca kejadian adalah disebabkan dia ada meminjam wang daripada along dan telah didesak untuk membuat pembayaran. Suspek meminta anaknya untuk menghantarnya ke pasar raya berkenaan. Setiba di sana, dia telah pergi ke Melaka Sentral dan menaiki bas sehingga ke Muar,” katanya.
Suspek direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan. – UTUSAN