Disyaki minta suapan selepas bantu dapat Datuk Seri

Disyaki minta suapan selepas bantu dapat Datuk Seri

SUSPEK direman lima hari selepas disyaki meminta dan menerima suapan daripada seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan Darjah Kebesaran Negeri Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) direman lima hari bermula hari ini selepas disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM48,000 daripada seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan Darjah Kebesaran Negeri Melaka, tahun lalu.

Perintah reman sehingga 14 Oktober ini dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri terhadap suspek wanita berusia 42 tahun itu.

Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wanita itu ditahan pukul 3.45 petang semalam selepas hadir ke Pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan.

Menurut sumber, suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang ahli perniagaan sebagai balasan bagi mendapatkan pengurniaan Datuk Seri sempena Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka, tahun lalu.

Difahamkan, siasatan awal mendapati, wang rasuah yang diterima suspek dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya dan disyaki berlaku puluhan transaksi kemasukan wang dari 2022 hingga 2023.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya