Didakwa pukul, ugut bunuh ibu nyanyuk

Didakwa pukul, ugut bunuh ibu nyanyuk

TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memukul kepala dan mengugut untuk membunuh ibu kandungnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki berusia 50 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul kepala dan mengugut untuk membunuh ibu kandungnya sendiri.

Bagaimanapun, tertuduh, Tai Siew Wong mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibunya yang juga warga emas berumur 75 tahun dengan cara memukul belakang kepala mangsa sebanyak dua kali menggunakan tangan.

Mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000.

Tertuduh turut didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sama dengan cara mengeluarkan ugutan, ‘satu hari mesti saya bunuh you (awak) mati’.

Mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika, sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di sebuah rumah beralamat di Rumah Awam Bertam Ulu dalam daerah Melaka Tengah pada 26 September 2024.

Difahamkan, insiden berlaku akibat perselisihan faham gara-gara si ibu menghidapi masalah ingatan atau pelupa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Nigel Tai merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai penghantar barang dengan pendapatan bulanan RM1,800.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat pendakwaan serta memerintahkan tertuduh melapor diri sekali setiap dua minggu di balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya