Didakwa minta RM3,000 daripada pasangan berkhalwat

Didakwa minta RM3,000 daripada pasangan berkhalwat

KETIGA-TIGA suspek diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua anggota polis berpangkat koperal dan seorang lans koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan meminta dan menerima suapan berjumlah RM3,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pasangan kekasih yang ditahan berdua-duaan dalam kenderaan.

Tertuduh, Wan Muhammad Fauzi Zulkefli, Muhamad Adham Samsudin dan Muhammad Najib Muhamad yang masing-masing berusia 29, 34 dan 36 tahun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah secara rasuah meminta untuk diri sendiri suatu suapan berjumlah RM3,000 supaya tidak mengambil tindakan lanjut terhadap satu pasangan lelaki dan perempuan kerana berdua-duaan di dalam kenderaan.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.30 pagi di dalam bilik rehat Balai Polis Melaka Tengah dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Oktober 2023.

Kesemua tertuduh juga didakwa menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada pasangan sama di Pondok Polis Pelancong, Jonker Walk dalam daerah Melaka Tengah pada tarikh sama kira-kira pukul 4.30 pagi.

Sabit kesalahan, kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Abd. Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan jaminan RM10,000 setiap seorang bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili ketiga-tiga tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan gaji pokok anak guamnya antara RM2,400 hingga RM3,300, telah berkahwin dan mempunyai anak masih kecil.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 20 November ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya