Bekas wartawan didakwa buat hantaran jelik, aib kehormatan

Bekas wartawan didakwa buat hantaran jelik, aib kehormatan bekas kekasih

TERTUDUH diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas wartawan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan hantaran komunikasi jelik terhadap bekas kekasihnya pada Januari lalu.

Tertuduh, Nurfateha Othman, 42, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan laman sosial Facebook melalui profil ‘aspalelah zizah torak’ secara sedar membuat dan memulakan komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati serta mengganggu mangsa berusia 43 tahun.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang di sebuah rumah bernombor di Taman Saujana Seksyen 2, Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada awal Januari 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain menawarkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri kepada pegawai penyiasat sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Mohamed Musthafa merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai jurugambar sambilan dengan pendapatan RM2,200 sebulan manakala suaminya hanya menjual roti.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan serta menetapkan 12 November ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni atas pertuduhan dengan niat hendak mengaibkan kehormatan mangsa sama dengan cara memuat naik gambar, butiran dan perbualan aplikasi WhatsApp di Facebook.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi pertuduhan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya