Bekas juruwang didakwa pecah amanah wang majikan

Bekas juruwang didakwa pecah amanah wang majikan

TERTUDUH diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas juruwang sebuah syarikat penyelenggaraan kenderaan didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang tunai berjumlah RM9,038.40 pada September 2023.

Tertuduh, Norazlina Abu Bakar, 39, mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan kesemua kertas pertuduhan, tertuduh sebagai juruwang bagi syarikat Tahap Puncak Sdn. Bhd. dan diamanahkan dengan wang hasil perkhidmatan baik pulih dan penyelenggaraan kereta pelanggan milik syarikat berkenaan telah melakukan pecah amanah terhadap harta tersebut iaitu wang tunai berjumlah RM9,038.40.

Kesalahan itu dilakukan di premis Tahap Puncak Sdn. Bhd. di Pusat Perniagaan Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah antara 1 dan 13 September 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain dan Nur Syazwanie Marizan mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM45,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali kepada pegawai penyiasat dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Suhaimi Zakariya merayu jaminan rendah bernilai RM10,500 bagi 12 pertuduhan dengan alasan anak guamnya mempunyai empat anak termasuk bayi berusia empat bulan, tidak bekerja dan ditanggung sepenuhnya oleh suami dengan pendapatan RM3,500 sebulan.

Hujah Suhaimi, jaminan yang tinggi dikhuatiri akan menafikan hak anak bongsu tertuduh untuk menyusu badan, sekiranya penjamin iaitu suami anak guamnya tidak mampu membayar jaminan.

Hakim Azaraorni dan Rohatul Akmar membenarkan jumlah jaminan sebanyak RM14,000 terhadap tertuduh berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 6 November ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya