Awang hitam edar dadah dihukum penjara 30 tahun, 12 sebatan

Awang hitam edar dadah dihukum penjara 30 tahun, 12 sebatan

Dadah
NGOFORO Ebube Gospel diiringi polis selepas mendengar hukuman dan penghakiman keatasnya yang berdepan pertuduhan mengedar dadah, di Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan seorang bekas mahasiswa sarjana terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah lima tahun lalu mengundang padah apabila didapati bersalah pada akhir kes pembelaan di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Ngoforo Ebube Gospel yang berasal dari Nigeria itu.

Menurutnya, mahkamah meneliti kesemua buki, nota keterangan serta hujahan daripada kedua-dua pihak dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap pertuduhan.

“Mahkamah berpuas hati dengan pendakwaan yang menunjukkan tertuduh mempunyai penguasaan dan kawalan terhadap dadah berkenaan. Penguasaan dalam pelbagai jangka masa dan jagaan.

“Selain itu, tertuduh juga mempunyai kawalan eksklusif terhadap kereta yang dipandu ketika tangkapan dibuat. Sementara beg yang diletakkan oleh orang baju putih ke dalam kereta tersebut diketahui oleh tertuduh untuk dibawa kepada orang lain.

“Sementara pembelaan dilakukan terhadap tertuduh adalah bersifat penafian dan gagal menimbulkan keraguan.

“Alasan yang mengatakan tertuduh menjaga beg tersebut kerana ‘orang baju putih’ hendak ke lapangan terbang juga menimbulkan tanda tanya apatah lagi beg galas itu mudah dibawa terutama oleh orang baju putih itu.

“Justeru, tertuduh bukanlah orang yang mempunyai kawalan dan jagaan sementara ke atas beg tersebut. Jumlah dadah seberat 149.4 gram itu tak munasabah untuk kegunaan sendiri. Jelas dadah itu bukan untuk digunakan sendiri tetapi untuk pengedaran,” katanya.

Sementara itu, Peguam, Afifuddin Ahmad Hafifi dalam mitigasinya sebelum hakim menjatuhkan hukuman memberitahu anak guamnya berusia 45 tahun itu merayu supaya hukuman mati tidak dikenakan kepadanya.

“Ini merupakan kesalahan kali pertama tertuduh dan dia berasa kesal dengan perbuatannya. Anak guam saya datang ke Malaysia kerana menyambung pengajian pada peringkat sarjana di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM). Sebelum ditangkap, dia adalah seorang mahasiswa.

“Sebelum ditangkap juga, dia akan melangsungkan perkahwinan. Ngoforo mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun yang kini dijaga oleh bapa tertuduh berusia 75 tahun,” ujarnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail menghujahkan, kesalahan dilakukan oleh tertuduh adalah serius kerana melibatkan hukuman mati, selain itu, dia juga mengedar dadah yang bukan biasa di negara ini dan mahal harganya.

Namun, Afifuddin menegaskan alasan jenis dadah yang terlibat, berat tidak sewajarnya menjadi faktor pemberat kepada hukuman untuk ditentukan menurut budi bicara mahkamah.

“Adakah kesalahan melibatkan dadah jenis lain seperti metamfetamin dan sebagainya yang tidak dikenakan hukuman mati di negara ini tidak berbahaya seperti kokain? Selain berat, harga atau nilai juga tidak sewajarnya menjadi faktor kepada penentuan hukuman mati,” jelasnya.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap Ngoforo sejak tarikh tangkap pada 25 Oktober 2019 serta 12 sebatan.

Seramai lima orang saksi pendakwaan dan dua di peringkat pembelaan dipanggil sepanjang perbicaraan bermula pada Jun 2023.

Berdasarkan pertuduhan, Ngoforo Ebube Gospel didakwa mengedar dadah jenis kokain seberat 149.4 gram di hadapan sebuah premis dekat Zenith Corporate Park, Kelana Jaya kira-kira pukul 1.50 petang pada 25 Oktober 2019.

Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama iaitu penjara seumur hidup atau mati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya