Tiga anak lelaki abuya dilepaskan dengan bon jaminan

Tiga anak lelaki abuya dilepaskan dengan bon jaminan

MAHKAMAH Tinggi Syariah Melaka melepaskan tiga anak lelaki Ashaari Muhammad dengan bon jaminan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga anak lelaki pemimpin utama Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau abuya dilepaskan dengan bon jaminan sebanyak RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, hari ini.

Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan permohonan dibuat Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 63 yang dibaca bersama Seksyen 62 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 atas kesalahan menghina dan mempersendakan agama Islam.

Mahkamah turut menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Kesemua orang yang disyaki (OYDS) berusia 38, 42 dan 45 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Ayer Molek Perdana, Masjid Tanah dalam Op Global dijalankan semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Op Global yang dijalankan ke atas 19 premis berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di sekitar Melaka berjaya menyita sebanyak 285 barang kes antaranya 12 keping gambar Ashaari Muhammad.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihak berkuasa turut merampas 138 buku berkaitan Al-Arqam yang telah diharamkan oleh Fatwa Negeri Melaka termasuk Aurad Muhammadiyah.

Ujarnya, selain itu sekeping jadual zikir Aurad Muhammadiyah, sebuah diari catatan tentang ajaran Al-Arqam dan 33 unit cakera padat berkaitan Al-Arqam turut ditemukan.

“Operasi ini telah dilaksanakan ke atas 19 premis yang terdiri daripada tiga buah rumah persendirian, dua buah rumah kebajikan dan 14 buah premis perniagaan di seluruh Melaka yang mana pecahan mengikut daerah sebanyak 10 buah premis di Melaka Tengah, lapan buah premis di Alor Gajah dan sebuah premis di Jasin.

“JAIM bertindak mengikut bidang kuasa yang telah diperuntukkan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 dan Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam (Negeri Melaka) 2002,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN