MELAKA: Sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti penstoran buangan terjadual e-waste di Bukit Rambai di sini, didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana gagal mengemukakan permohonan bertulis kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung pemasangan peralatan pembakaran dan kawalan pencemaran udara, Januari lalu.
Hakim Azaraorni Abd. Rahman membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah orang kena saman (OKS), Wista Sehati Trading (M) Sdn. Bhd. yang diwakili pengarah syarikatnya, Ahmad Humaizi Mahat, 46.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didakwa gagal mematuhi tiga syarat laporan Penilaian Impak Alam Sekitar iaitu gagal memperoleh terlebih dahulu kebenaran bertulis sebelum pembinaan premis dan pemasangan peralatan serta gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis sebelum atau selepas pemasangan alat pembakaran dan alat kawalan pencemaran udara.
Selain itu, syarikat tersebut turut gagal mendapatkan lesen sebelum premis berkenaan diduduki dan memulakan beroperasi.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10.38 pagi hingga 1.30 petang di premis Wista Sehati Trading (M) Sdn. Bhd., Lot 64, 65 dan sebahagian Lot 1629 di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah pada 24 Januari 2024.
Sabit kesalahan OKS boleh dipenjara mandatori tidak lebih lima tahun serta denda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih RM1 juta mengikut Seksyen 34A (7) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34A (8) akta sama.
Bagaimanapun, OKS melakukan kesalahan sebelum pindaan akta pada 7 Julai 2024 yang mana memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pemeriksaan di premis OKS mendapati peralatan pembakaran bahan api dan alat kawalan pencemaran udara seperti penapis beg, scrubber dan heat exchanger telah siap dipasang tanpa mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada JAS Melaka.
Pegawai Pendakwa JAS Melaka, Elbyta Rozana Mohd. Hatta mencadangkan hukuman berat dan berbentuk pengajaran kepada OKS.
Ahmad Humaizi merayu dikenakan denda rendah dengan alasan pendapatan syarikat terjejas kerana tidak beroperasi ketika pandemik, selain telah mengeluarkan kos sebanyak RM1.6 juta bagi mematuhi syarat ditetapkan JAS.
Mahkamah menjatuhkan denda sebanyak RM20,000 dan OKS membayar denda tersebut. – UTUSAN