Pengawal keselamatan didakwa sumbang mahram dua anak

Pengawal keselamatan didakwa sumbang mahram dua anak kandung

TERTUDUH diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas sembilan pertuduhan melakukan sumbang mahram dan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuan kandungnya sejak 2018.

Tertuduh yang berusia 39 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Syazana Abd. Lajis.

Berdasarkan dua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram terhadap dua anak perempuan kandungnya berusia 13 dan 16 tahun ketika kejadian yang mana perhubungan tertuduh dengan kedua mangsa tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk berkahwin.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak kurang lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan tidak kurang 10 sebatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Selain itu, tertuduh berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kedua-dua mangsa.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh turut didakwa empat pertuduhan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana melakukan hubungan seks menggunakan objek terhadap kedua-dua anak perempuan kandungnya dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 377E kanun sama kerana melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Panchor, Durian Tunggal dalam daerah Alor Gajah antara pertengahan November 2018 dan pertengahan Ogos 2024.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 9 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN