Pengasuh tekup muka Al Fateh didakwa membunuh esok

Pengasuh tekup muka Al Fateh didakwa membunuh esok

SUSPEK dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka untuk permohonan tahanan reman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengasuh wanita yang dipercayai menyebabkan kematian Allahyarham Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri akan didakwa atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret, Alor Gajah dekat sini, esok.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kertas siasatan telah dilengkapkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.

ZAINOL SAMAH

“Arahan untuk pendakwaan telah dikeluarkan dan suspek yang berusia 34 tahun itu akan dituduh pukul 9 pagi esok di Mahkamah Alor Gajah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, keluarga Allahyarham Muhammad Al Fateh Amri menegaskan bahawa tindakan undang-undang perlu dikenakan bukan sahaja kepada pengasuh, malah taman asuhan kanak-kanak (taska) terlibat juga tidak boleh dibiarkan.

Bapa Allahyarham, Mejar Ir. Ts. Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 39, berkata, pengusaha taska terlibat perlu bertanggungjawab ke atas kematian yang berlaku di premisnya supaya menjadi pengajaran dan iktibar kepada taska lain agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan ditetapkan.

Sabtu lalu, pengasuh yang dikatakan menekup muka Muhammad Al Fateh Amri sehingga menyebabkan mangsa maut direman tujuh hari.

Perintah reman sehingga Jumaat dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri terhadap suspek berusia 34 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN