Pengasuh dipercayai tekap muka bayi lapan bulan direman

Pengasuh dipercayai tekap muka bayi lapan bulan direman tujuh hari

SUSPEK direman selama tujuh hari selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka untuk permohonan reman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengasuh yang dikatakan menekap muka seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, Allahyarham Muhammad Al Fateh Amri sehingga menyebabkan mangsa maut dalam kejadian di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama dekat sini, semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga Jumaat dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri terhadap suspek berusia 34 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh pukul 9.30 pagi tadi dengan diiringi anggota polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Ujarnya, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada Hospital Alor Gajah yang memaklumkan telah menerima seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mengikut laporan dibuat, mangsa telah dihantar ke taska oleh datuk dan ibunya pada pukul 7.05 pagi, namun pada pukul 9.05 pagi, pihak taska itu menelefon si ibu memberitahu bahawa tubuh badan bayi berkenaan dalam keadaan biru.

“Datuk dan ibu mangsa terus ke taska dan mendapati muka bayi berkenaan sudah menjadi biru dan hidungnya berdarah serta mangsa dalam keadaan terkulai,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan seorang pengasuh yang didakwa membedung, menyumbat botol susu, menutup dengan kain dan menekup menggunakan bantal terhadap seorang bayi berusia lapan bulan, sehingga menyebabkan mangsa maut.

Menurut bapa mangsa, Mejar Ir. Ts. Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 39, perbuatan itu dilihatnya sendiri dilakukan pengasuh itu terhadap anak lelakinya, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan.

Katanya, amat menyayat hati apabila anak sulung yang dikurniakan Ilahi selepas hampir 13 tahun menanti, meninggal dunia akibat perbuatan tidak bertanggungjawab sedemikian, hanya selepas lima hari Al Fateh dihantar ke taska berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN