Pengarah, pengurus besar syarikat iklan direman lima hari

Pengarah, pengurus besar syarikat iklan direman lima hari

SUSPEK diiringi pegawai SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka untuk permohonan reman. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengarah dan pengurus besar sebuah syarikat konsesi pengiklanan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan mengemukakan laporan palsu kerja pemasangan papan iklan di seluruh Melaka kepada sebuah agensi kerajaan negeri, sejak tiga tahun lalu.

Perintah reman sehingga 14 September ini dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni terhadap dua suspek lelaki berusia 46 dan 48 tahun itu.

Kedua-dua suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9.05 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemua suspek ditahan pukul 3 petang semalam selepas hadir ke Pejabat SPRM Melaka, Alai untuk memberi keterangan.

Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan laporan palsu kerja-kerja pemasangan iklan di seluruh negeri ini membabitkan tuntutan bayaran berjumlah jutaan ringgit sejak 2021.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Sabit kesalahan suspek boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, dua papan iklan di Bachang dan Banda Hilir yang tumbang dalam kejadian ribut pada Julai lalu tidak mempunyai lesen yang sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dipercayai tidak mengikut prosedur ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN