MELAKA: Seorang lelaki terlepas tali gantung apabila dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah methamphetamine seberat 101.79 gram, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Md. Nasir Khamis, 47, sejurus pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah jenis methampethamine seberat 101.79 gram yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika tidak dikenakan hukuman mati.
Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan, tertuduh didapati memiliki dadah methamphetamine dengan berat bersih 101.79 gram di hadapan premis kedai No. 23, Jalan MP 15, Taman Merdeka Permai, Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah pada 13 April 2022 kira-kira pukul 10 malam.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan hendaklah juga disebat minimum 10 sebatan mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dalam tugasan Task Force Op Covid-19 di sebuah premis kedai di Taman Merdeka Permai kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Hasil pemeriksaan tubuh menjumpai satu peket plastik yang mengandungi 17 peket plastik lutsinar disyaki berisi dadah syabu di dalam beg silang dipegang pada tangan kanan tertuduh.
Peguam A. Partheeban merayu anak guamnya diberikan hukuman ringan kerana sudah insaf atas kesalahan dilakukan.
Katanya, tertuduh yang juga seorang duda mempunyai anak masih bersekolah berusia 12 tahun, selain ibu yang uzur berusia 86 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Nabilalif Mohd. Rosli memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan berkaitan dadah adalah serius.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan terhadap tertuduh yang berjalan bermula dari tarikh ditangkap pada 13 April 2022. – UTUSAN