MELAKA: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM1,000 kepada seorang duda selepas tertuduh mengaku bersalah menumbuk muka seorang pekerja gerai asam pedas, hanya kerana mangsa tidak menghantar minuman dipesannya.
Tertuduh, Setia Maidin, 49, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap seorang pekerja warga Bangladesh berusia 43 tahun.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari di Gerai Nora Asam Pedas, Medan Selera Semabok dalam daerah Melaka Tengah pada 22 September 2024.
Mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak menumbuk mangsa sebanyak dua kali dan sekali di bahagian telinga kiri selepas tidak berpuas hati berkenaan minuman yang dipesan tidak diterima.
Perbuatan tertuduh menyebabkan telinga kiri mangsa berdarah, manakala pipi dan jari tangan kanannya bengkak.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.
Bagaimanapun, peguam Umar Zulkarnain merayu hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya yang bekerja sebagai pemandu lori sambilan dengan gaji RM9 sejam telah insaf.
Hujahnya, tertuduh juga merupakan seorang duda yang perlu menanggung seorang anak berusia 12 tahun yang masih bersekolah, selain lelaki itu merancang untuk berkahwin hujung tahun ini.
Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM1,000 atau penjara satu bulan jika gagal bayar. – UTUSAN