MELAKA: Seorang bekas Ketua Perancang Bahagian Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) didenda RM170,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 17 pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM133,000 daripada sebuah syarikat logistik, empat tahun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Hazri Mokhtar, 45, sejurus pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) penerimaan secara rasuah wang berjumlah RM133,000 sebagai upah membantu mempercepatkan bayaran oleh Pos Malaysia kepada Syarikat OnxOn Logistik Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja penyumberan luar dan perkhidmatan shuttle di Sabah dan Sarawak.
Kesalahan itu dilakukan di Bank Simpanan Nasional (BSN) Melaka Main, Lot No. 779, Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main No. 114 & 114A, Graha Peladang, Jalan Hang Tuah dalam daerah Melaka Tengah antara 8 Julai 2020 dan 11 Oktober 2021.
Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama.
Peguam Mohammad Amir Aizat Abd. Rani yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan tertuduh menyara isteri dan tiga anak, selain telah dibuang kerja dan kini menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.
Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athiran Zainudin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan pilihan atau 51 bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN