Suami isteri mengaku curi Milo, Nescafe untuk tanggung

Suami isteri mengaku curi Milo, Nescafe untuk tanggung dialisis ibu

KEDUA-dua tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencuri 19 peket Milo di sebuah pasar raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 28 hari bersama denda RM3,000 kepada sepasang suami isteri, selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri 19 peket minuman malt coklat berjenama Milo dua kilogram (kg) di sebuah pasar raya di Ayer Keroh, bulan lalu.

Tertuduh, Muhamad Nor Azam Bakar, 34, dan Noor Azura Rosslan, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama telah mencuri 11 peket Milo bernilai RM493.57 milik Pasar Raya Aeon Ayer Keroh, dalam bangunan tersebut yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda pada pukul 8.02 malam, 16 Julai 2024.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh secara bersama-sama telah melakukan kesalahan sama keesokan harinya pada pukul 8.45 malam dengan mencuri lapan lagi peket Milo bernilai RM358.96 milik pasar raya sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya hendaklah dihukum penjara dan dikenakan denda dan sebat.

Dalam pada itu, si suami turut didakwa mencuri lima peket isian semula minuman kopi segera berjenama Nescafe, satu peket kapas muka dan tisu tandas berjumlah RM250.50 milik Pasar Raya Setia Jaya.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 8.53 malam di Pasar Raya Setia Jaya, Jalan KL 3/13, Taman Kota Laksamana Jaya dalam daerah Melaka Tengah pada 14 Mei 2024.

Mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat.

Peguam Nigel Tai merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya berbuat demikian bagi menampung kos rawatan dialisis ibu kepada tertuduh lelaki.

Hujah Nigel, pasangan itu yang bekerja sebagai penjual burger dan tukang urut juga perlu menanggung lima anak termasuk dua daripadanya berstatus orang kurang upaya (OKU).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman berat dikenakan selepas mengambil kira kesalahan itu dilakukan berturut-turut, manakala barangan dicuri bukanlah barangan keperluan yang mendesak.

Mahkamah menjatuhkan penjara 28 hari dan denda RM1,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua terhadap setiap tertuduh atau dua minggu penjara jika gagal bayar.

Selain itu, Mohamad Nor Azam turut dihukum penjara 14 hari bagi pertuduhan ketiga dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal bayar.

Hukuman diperintahkan berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya