Pukul kepala ibu dengan topi keledar, pemuda kena penjara

Pukul kepala ibu dengan topi keledar, pemuda kena penjara

TERTUDUH diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perbuatan seorang anak memukul kepala ibu kandungnya dengan topi keledar berbalas selepas dia dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nabilah Nizam menerima pengakuan bersalah tertuduh, Ezat Hamidee Abdul Latif, 35, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap ibunya berusia 60 tahun dengan cara memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah hari di sebuah rumah di Jalan Tambak Bugis, Telok Mas dalam daerah Melaka Tengah pada 4 Ogos 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tertuduh menyatakan dia bertindak sedemikian disebabkan marah kerana ditegur ibunya dan berasa malu setelah keluarga mengetahui dia baru keluar daripada pusat serenti.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan kerana mangsa adalah ibu kandung tertuduh.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh ditangkap pada 4 Ogos lalu.

Sementara itu, dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memberikan dadah jenis methamphetamine kepada diri sendiri.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada hari sama.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 September ini untuk sebutan semula kes serta serahan laporan patologi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN