Pelabur mata wang didakwa bunuh cikgu Istiqomah

Pelabur mata wang didakwa bunuh cikgu Istiqomah

TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Alor Gajah, Melaka atas pertuduhan melakukan bunuh terhadap Istiqomah Ahmad Rozi. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang pelabur mata wang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang guru wanita pada Disember lalu.

Tertuduh, Mohd. Fadzly Ariffadzilah, 36, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh terhadap Istiqomah Ahmad Rozi, 33, di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang dalam daerah Alor Gajah antara 26 Disember hingga 31 Disember 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim membantah jaminan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.

Beliau juga memohon tarikh baharu untuk serahan laporan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 22 Oktober ini bagi serahan laporan DNA serta bedah siasat.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi pekarangan kompleks mahkamah dengan kehadiran waris mangsa.

Keluarga Allahyarhamah tiba dari Kota Masai, Johor kira-kira pukul 9.45 pagi tadi bagi mendengar pendakwaan yang dihadapi tertuduh.

Minggu lalu, polis mengesahkan mayat tanpa kepala dan dikerat yang ditemui di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar sebagai Istiqomah berdasarkan keputusan ujian DNA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN