Warga Pakistan mengaku menghendap wanita

Warga Pakistan mengaku menghendap wanita

TERTUDUH warga Pakistan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menghendap seorang wanita tempatan melalui tingkap belakang rumah mangsa. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki warga Pakistan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menghendap seorang wanita tempatan melalui tingkap belakang rumah mangsa, tahun lalu.

Tertuduh, Ahmed Waqar, 30, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 26 Februari ini untuk sebutan semula kes dan pertuduhan dibacakan semula dalam Bahasa Urdu susulan terdapat keraguan pada tahap pemahaman tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah berulang kali mengganggu seorang wanita tempatan berusia 30 tahun dengan menghendap melalui tingkap di belakang rumah mangsa di Bukit Beruang dalam daerah Melaka Tengah, yang mana tertuduh sepatutnya tahu bahawa gangguan tersebut boleh mendatangkan ketakutan terhadap mangsa.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 5.52 pagi sehingga 6.10 pagi antara 14 November sehingga 6 Disember 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu restoran berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh di hukum di bawah Seksyen 507A (3) kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar manakala peguam Umar Zulkarnain merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan polis dan majikannya turut memberi jaminan mengenai kehadiran tertuduh.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan dua orang penjamin tempatan berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri dua kali setiap bulan di Balai Polis Ayer Keroh sehingga prosiding selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN