Remaja, rakan subahat perdaya ibu angkat didakwa

Remaja, rakan subahat perdaya ibu didakwa

KESEMUA tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Alor Gajah, Melaka atas pertuduhan memperdaya seorang wanita tahun lalu. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang remaja bersama dua rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memperdayakan ibu angkatnya menyerahkan wang sebanyak RM25,000 bagi melepaskan orang tahanan tidak wujud.

Tertuduh, masing-masing pesalah muda berusia 15 tahun dan 17 tahun serta Azri Zulhusni Nodin, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja lelaki berusia 15 tahun itu bersama dua lagi tertuduh didakwa telah memperdayakan Noor Aishah Mohamad, 58, untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM25,000 bagi urusan melepaskan orang dalam tahanan yang tidak wujud.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11 pagi di Pekan Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah pada 29 November 2023.

Sabit kesalahan kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan dua remaja tersebut dijamin RM8,000 setiap seorang manakala RM10,000 untuk Azri Zulhusni.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan.

Mahkamah membenarkan remaja terbabit dijamin RM1,500 setiap seorang manakala Azri Zulhusni dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, taktik licik seorang pelajar tingkatan tiga yang dipercayai berkomplot dengan dua lagi rakan untuk menipu ibu sendiri menyerahkan wang tunai RM25,000 membawa padah, selepas ketiga-tiga mereka diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, pada 27 November 2023, suspek berusia 15 tahun itu bertindak tidak pulang ke rumah lantas menimbulkan kegusaran kepada ibunya.

Katanya, ibu suspek yang berkerja sebagai pembantu klinik telah berjumpa dengan rakan anaknya berumur 17 tahun dan dimaklumkan kononnya suspek ditahan di Balai Polis Seremban, Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN