Rasuah projek pembekalan kerajaan, pengarah syarikat

Rasuah projek pembekalan kerajaan, pengarah syarikat direman empat hari

SUSPEK yang memakai baju lokap SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, Melaka pada pukul 9 pagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki berusia 60-an yang juga pemilik syarikat pengiklanan direman empat hari bermula hari ini selepas disyaki terlibat dalam rantaian kartel mendapatkan projek-projek pembekalan kerajaan di negeri ini.

Suspek dipercayai menyogok penjawat awam di pelbagai jabatan sejak tiga tahun lalu.

Perintah reman sehingga 26 Januari ini dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh di sini pada pukul 9 pagi tadi dengan diiringi pegawai SPRM.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pengarah syarikat pembekalan ditahan SPRM kerana dipercayai bertindak sebagai pemberi rasuah kepada penjawat awam negeri ini bagi pelaksanaan kerja-kerja perolehan.

Suspek ditahan di Pejabat SPRM Melaka, Alai kira-kira pukul 12 tengah hari semalam bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, penahanan dibuat ekoran suspek dipercayai telah merasuah penjawat-penjawat awam di pelbagai jabatan kerajaan dengan membayar antara belasan hingga puluhan ribu ringgit bagi memastikan kerja pembekalan di jabatan-jabatan berkenaan diperolehi.

Kes itu melibatkan perolehan keseluruhan berjumlah RM639,104.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad mengesahkan penahanan itu dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa penjawat awam untuk memberi kerjasama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN