Rasuah konsert rock: Penolong pengurus wanita direman empat

Rasuah konsert rock: Penolong pengurus wanita direman empat hari

PERINTAH reman sehingga 12 Januari 2024 dikeluarkan Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka bagi membantu siasatan rasuah berjumlah RM18,000. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penolong pengurus sebuah agensi kerajaan direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas dipercayai menerima rasuah berjumlah RM18,000 daripada seorang pengarah syarikat bagi penganjuran konsert rock, Ogos tahun lalu.

Perintah reman sehingga 12 Januari 2024 dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni terhadap suspek berusia 37 tahun itu.

Suspek yang sedang mengandung dua bulan tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wanita itu ditahan pukul 4 petang semalam selepas hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

Menurut sumber, suspek selaku urus setia dana dipercayai telah membantu pengarah syarikat tersebut mendapatkan kelulusan geran konsert di bawah agensi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berjumlah RM300,000.

“Sebagai balasan, suspek dipercayai meminta komisen sebanyak 10 hingga 20 peratus berjumlah RM18,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

“Sabit kesalahan suspek boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN