Prebet menyamar staf sarjan ceroboh rumah Panglima 3

Prebet menyamar staf sarjan ceroboh rumah Panglima 3 Divisyen

TERTUDUH didenda RM2,400 oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah menyamar sebagai anggota tentera berpangkat staf sarjan dan menceroboh Rumah Panglima 3 Divisyen. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Menyamar sebagai anggota tentera berpangkat staf sarjan dan menceroboh Rumah Panglima 3 Divisyen, Kem Terendak pada November 2023.

Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda bernilai RM2,400 kepada Muhammad Fikri Shaiff, 35, yang juga bekas anggota tentera yang sebelum ini berpangkat prebet.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah memakai uniform lengkap angkatan tentera berpangkat staf sarjan dengan niat bahawa ia mungkin dipercayai tergolong dalam jawatan berpangkat itu.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 171 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM400 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga dituduh melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan larangan Rumah Panglima 3 Divisyen seperti termaktub di bawah Perintah Tetap Markas Garisan Terendak.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga enam bulan atau dengan denda atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 6.09 pagi di Pos Seri Setia Kem Terendak dalam daerah Melaka Tengah pada 14 November 2023.

Mengikut fakta kes, tertuduh sebelum ini merupakan anggota tentera berpangkat staf sarjan, namun dilucutkan jawatan selepas dikenakan tindakan disiplin.

Tertuduh diturunkan pangkat kepada prebet dan melakukan kedua-dua kesalahan disabitkan ketika dalam proses untuk diberhentikan kerja.

Pencerobohan yang dilakukan tertuduh di pekarangan Rumah Panglima 3 Divisyen didapati adalah dengan niat hendak menipu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan kini dalam proses dokumentasi untuk penamatan tugas, selain perlu menjaga ibu yang uzur.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM400 bagi pertuduhan pertama atau 10 hari penjara jika gagal bayar dan RM2,000 atau sebulan penjara bagi pertuduhan kedua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN