Pelajar tingkatan tiga, dua rakan didakwa rompak guna parang

Pelajar tingkatan tiga, dua rakan didakwa rompak guna parang

DUA tertuduh bersama seorang lagi remaja 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Alor Gajah, Melaka atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang pelajar tingkatan tiga bersama dua rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang dan besi.

Tertuduh yang berusia 15 tahun bersama Naufal Izmeiel Abdullah, 24, dan Muhammad Ridzuan Mat Nasir, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama dua orang yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang dan besi hingga menyebabkan kecederaan terhadap lima warga Bangladesh serta mengambil wang tunai berjumlah RM1,700 dan empat telefon bimbit.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam hingga 11.40 malam di kebun sayur Kampung Melekek dan Kampung Kandang Kambing serta kebun buah Jalan Kemus, Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah antara 3 November hingga 19 Disember 2023.

Sabit kesalahan kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Peguam Mohammad Zaki Abdul Shukor yang mewakili Muhamad Ridzuan merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja manakala dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan jaminan RM1,500 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh bawah umur, sementara RM18,000 seorang kepada dua tertuduh lain untuk kesemua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, enam lelaki termasuk seorang pelajar sekolah yang dipercayai terlibat dalam tiga kes samun bersenjata menyasarkan pekerja kebun warga asing berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kesemua suspek berusia antara 13 sehingga 27 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Simpang Ampat dan Sik, Kedah.

Katanya, kumpulan itu menggunakan modus operandi sama iaitu menyasarkan pekerja kebun warga asing yang tinggal di asrama dalam kawasan pertanian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN