Papagomo didakwa menghasut kait kerajaan pro-Israel

Papagomo didakwa menghasut kait kerajaan pro-Israel

WAN Muhammad Azri Wan Deris (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menghasut. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Penulis blog Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut dengan mengaitkan kerajaan yang sedang memerintah adalah pro-Israel dan negara barat.

Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, Wan Muhammad Azri didakwa menyebut kata-kata menghasut (mengaitkan kerajaan kini pro kepada Israel dan negara barat) dalam laman sosial Facebook milik seorang individu pukul 1 petang pada 8 November 2023.

Kata-kata menghasut itu kemudian dilihat oleh seorang lagi individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin Bukit Bintang di sini.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam menawarkan jaminan  RM7,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu satu perintah tegahan (gag order) tertuduh tidak dibenarkan mengulas mengenai pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Papagomo memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan lima anak selain pendapatan tertuduh hanya berasaskan kerja dalam talian.

“Sepanjang siasatan dijalankan, tertuduh telah memberi kerjasama yang baik dan hari ini tertuduh sendiri ke mahkamah (bagi menghadapi pendakwaan),” kata peguam itu.

Sementara itu berhubung dengan perintah `gag order’ peguam itu berhujah mahkamah tidak perlu mengeluarkan perintah itu kerana ia adalah hak kebebasan bersuara.

Selepas mendengar makluman dan hujah kedua-dua belah pihak, Priscilla kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan tidak meletakkan sebarang syarat tambahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Februari ini bagi sebutan kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya