KUALA LUMPUR: Isteri Tun Dr. Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Disember tahun lalu.
Na’imah, 67, yang juga isteri bekas Menteri Kewangan didakwa dengan sengaja memberikan pernyataan bertulis secara bersumpah bertarikh 8 November 2023 tanpa mematuhi terma notis yang dinyatakan di bawah Seksyen 36(1)(b) akta itu.
Menurut pertuduhan, notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 manakala kesalahan didakwa dilakukan pada 13 Disember 2023 di Ibu Pejabat SPRM di Presint 7, Putrajaya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan. – UTUSAN