Guru lelaki didakwa amang seksual fizikal anak murid

Guru lelaki didakwa amang seksual fizikal anak murid

TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Alor Gajah, Melaka atas pertuduhan amang seksual fizikal. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang guru di sebuah sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan, dua tahun lalu.

Tertuduh, K. Ramakrishnan, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang kini bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 ketika kejadian.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.30 pagi dalam sebuah kelas tahun lima di sebuah sekolah dalam daerah Alor Gajah pada 26 Mei 2022.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut Seskyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa.

Peguam S. Karthigesan merayu jumlah jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh yang sudah berkahwin perlu menanggung ibu serta isterinya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh tidak mendekati mangsa dan ahli keluarga yang lain dan menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN