Dua warga India antara didakwa curi kad MSAN milik TM

Dua warga India antara didakwa curi kad MSAN milik TM

KESEMUA tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas 26 pertuduhan mencuri, menerima dan melupuskan kad MSAN milik TM. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua lelaki warga India antara empat tertuduh yang didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 26 pertuduhan mencuri, menerima dan melupuskan kad rangkaian akses pelbagai perkhidmatan (MSAN) milik Telekom Malaysia (TM) bernilai RM649,189.63.

Tertuduh, Dharmaraj Ramar, 34, dan Puviyarasan Arjunan, 25, bersama dua lelaki tempatan, Hiew Vee Looh, 42, dan Yeo Choon Leng, 48, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dibacakan dalam empat prosiding berasingan.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni, Vee Looh dan Choon Leng secara bersama didakwa telah mencuri 442 kad MSAN di kabinet milik TM di lokasi berbeza sekitar daerah Melaka Tengah antara 29 Disember 2023 hingga 7 Januari 2024.

Mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Dharmaraj dan Puviyarasan mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan dengan niat curang melupuskan harta milik TM.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai besi buruk di Capitol Industrial Centre, Jalan Sungai Besi dalam daerah Cheras, Kuala Lumpur pada 4 Januari 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda di bawah Seksyen 414 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam, Dharmaraj dan Puviyarasan turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu secara bersama menerima harta curi milik TM dan didakwa mengikut Seksyen 413 kanun sama.

Perbuatan itu dilakukan pada 29 dan 31 Disember 2023 di alamat sama. Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda.

Majistret Khairunnisak membenarkan Vee Looh dan Choon Leng diikat jamin RM97,000 setiap seorang bagi kesemua 15 pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dharmaraj dan Puviyarasan yang didakwa mengikut Seksyen 414 kanun sama dibenarkan diikat jamin RM37,000, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Hakim Mohd. Sabri dan Hakim Darmafikri tidak membenarkan jaminan kepada dua warga asing itu yang didakwa di bawah Seksyen 413 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Wardah Ishhar manakala Vee Looh dan Choon Leng diwakili peguam Muhammad Afiq Yahawa.

Mahkamah menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN