Didakwa pandu kereta curi, rempuh kereta polis

Didakwa pandu kereta curi, rempuh kereta polis

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan merempuh kereta dan mencederakan anggota polis bagi mengelak dirinya ditahan. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki berusia 33 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan merempuh kereta dan mencederakan anggota polis bagi mengelak dirinya ditahan.

Tertuduh, Wan Khairul Aslam Wan Mat membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan cara mengundurkan kereta yang dipandu dan melanggar kereta dipandu Sarjan Muhammad Haniff Hashim sehingga menyebabkan kerosakan dengan nilai kerugian RM2,358.15.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah kepada anggota polis yang sedang menjalankan kewajipan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Lans Koperal Alif Danial Hermi.

Mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan dilakukan kira-kira pukul 4.45 pagi di Lorong Kekwa 11, Peringgit dalam daerah Melaka Tengah pada 4 Januari 2024.

Difahamkan, tertuduh melakukan perbuatan itu akibat cemas selepas melihat kehadiran polis kerana dia memandu kereta dicuri rakannya ketika membeli makanan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM10,000 dengan mengambil kira faktor kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Peguam Ishak Kari merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya dalam perancangan melangsungkan perkahwinan tahun ini, selain perlu menanggung ibu.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN