MELAKA: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol dua anak tirinya sejak Jun tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 28 tahun itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah sejurus enam pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa tiri didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan, masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 8 malam hingga 9 malam di sebuah rumah bernombor di Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah antara Jun 2023 hingga 2 Januari 2024.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan sebat tidak kurang dua sebatan.
Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan atas tiga pertuduhan merogol mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh sama.
Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara minimum lapan tahun dan tidak melebihi dua puluh tahun dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM30,000 bagi empat pertuduhan sementara dua pertuduhan lagi tidak ditawarkan jaminan.
Tertuduh diwakili Peguam Nur Aifaa Mohd. Zain tidak membuat rayuan jumlah jaminan kerana anak guamnya tidak mempunyai kemampuan kewangan.
Mahkamah mengarahkan tertuduh ditahan di penjara dan menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN