Anggota polis nafi terima suapan RM2,000

Anggota polis nafi terima suapan RM2,000

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000, tiga tahun lalu. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hazwan Ahad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerima suapan wang tunai berjumlah RM2,000 daripada Hasnah Ahmad Shah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap anaknya, Julhashfizan Abdullah di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi kesalahan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi, mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM2,000 tanpa sebarang balasan daripada Hasnah Ahmad Shah yang mana tertuduh mengetahui wanita itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Semua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang di sebuah rumah bernombor di Taman Rambai Idaman dalam daerah Melaka Tengah pada 9 Mac 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali, sehingga kes selesai dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh diwakili peguam Mohd. Hazrin Alif Wahab merayu jaminan dikurangkan kepada RM5,000.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan seperti yang dipohon pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN