Anak tonton video lucah, ibu mengaku simbah air panas

Anak tonton video lucah, ibu mengaku simbah air panas

MAHKAMAH Sesyen, Ayer Keroh, Melaka menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepada seorang wanita selepas tertuduh mengaku bersalah menyimbah air panas terhadap anaknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepada seorang wanita berusia 38 tahun, selepas ibu kepada lima orang anak itu mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail atas pertuduhan menyimbah air panas terhadap anaknya.

Difahamkan, tertuduh bertindak demikian selepas berang mangsa yang merupakan anak kedua telah menggunakan data internet telefon bimbitnya untuk menonton video lucah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya yang ketika kejadian berusia 13 tahun dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2.56 pagi di sebuah rumah di taman perumahan kakitangan kerajaan di Sungai Udang pada 27 Jun 2022.

Mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau dengan sebat, jika sabit kesalahan.

Tindakan tertuduh terbongkar selepas rakan anaknya menyedari pakaian sekolah dipakai mangsa mempunyai kotoran kesan luka dan melaporkan kejadian kepada ibunya, yang merupakan pengadu dalam kes ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum diberikan dengan alasan mempunyai tiga anak kecil berusia enam tahun, empat tahun serta enam bulan.

Katanya, anak berusia enam tahun itu merupakan penghidap autisme, selain dirinya merupakan pesakit psikiatri yang mengalami tekanan teruk sejak kejadian sehingga dos pengambilan ubatnya dinaikkan doktor daripada 50 miligram (mg) kepada 100 mg setiap hari.

Mahkamah menjatuhkan tiga tahun penjara dari tarikh ditangkap iaitu pada 8 Julai 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN