KUALA LUMPUR: Tidak ubah seperti adegan perbicaraan dalam Filem Anak Bapak arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, pembelaan terus menerus membangkitkan bantahan berhubung penyataan saksi pegawai penyiasat skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin.
Walaupun telah diarahkan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, kira-kira dua minggu lalu agar pembelaan dan pendakwaan duduk bersama dan berbincang mengenai perenggan-perenggan yang dipertikaikan sama ada ingin memadamkan terus atau memindanya.
“Perkara ini sepatutnya telah diselesaikan sebelum ini tetapi masih ada bantahan, berkemungkinan akan berlanjutan pada (prosiding) Jumaat ini dan minggu hadapan, jadi kita balik seperti sebelum ini. Perkara ini tak sepatutnya berlaku,”tegas Hakim Sequerah.
Peguam bela, Tania Scivetti yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kemudian memaklumkan bahawa mereka telah duduk bersama pendakwaan sebagaimana diarahkan oleh mahkamah sebelum ini namun masih tetap akan membangkitkan bantahan.
Nur Aida dipanggil memberi keterangan sejak 2 Januari lalu dan hampir setiap perenggan penyataan saksinya dibantah oleh pembelaan.
Najib kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Terdahulu, Tania membantah terhadap perenggan ke-229 penyataan saksi Nur Aida yang menyatakan bahawa pada awal 2013, Najib telah menghadiri satu perjumpaan di Davos, Switzerland bersama-sama ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner dan Micheal Evans yang merupakan Pengerusi Goldman Sachs Asia (ketika itu).
Menurut keterangan saksi pendakwaan ke-49 itu, pada pertemuan itu, Leissner telah mencadangkan agar proses pengumpulan dana (fundraising) yang akan dibuat bagi menjayakan usahasama bernilai AS$6 billion bagi pembangunan projek TRX dan beberapa lagi oleh 1MDB disokong oleh Surat Sokongan daripada Kerajaan Malaysia.
Tania membantah terhadap fakta penemuan tersebuat atas alasan bahawa tiada mana-mana saksi yang telah dipanggil sebelum ini pernah menyentuh mengenai perkara tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan pihaknya akan memanggil seorang saksi berhubung pertemuan itu.
Pada ketika ini, hanya bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo masih belum dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.
Selepas beberapa ketika, Tania bangkit lagi dan membantah terhadap perenggan yang menyentuh mengenai bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd. Hazem Abdul Rahman yang dikatakan sebagai `pendapat’.
Ahmad Akram menyatakan, keterangan yang diberikan oleh Nur Aida bukanlah satu `pendapat’ tetapi rumusan terhadap keterangan yang telah diberikan Mohd. Hazem di mahkamah sebelum ini.
Sementara itu, pada prosiding di sebelah petang, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sekali lagi membangkitkan rasa tidak puas hatinya atas laporan media dalam perbicaraan tersebut yang didakwa sebagai tidak adil.
“Tania telah membangkitkan bantahan pada pukul 11.14 pagi dan pada pukul 12.14 tengah hari, satu protal berita telah menyiarkan laporan di bawah tajuk ‘Najib denied 1MDB CEO access to US$3bil in funds, court told’.
“Secara verbatim ia adalah betul tapi laporannya sangat tidak adil. Mereka hanya memetik apa yang dinyatakan oleh saksi sedangkan itu menjadi asas bantahan kami. Mana-mana pembaca yang hanya membaca tajuk berita sahaja akan mempunyai tanggapan apa yang dilakukan oleh Najib adalah teruk. Mohon mahkamah memberi peringatan kepada wartawan yang sedang mendengar perbicaraan ini,”kata peguam itu.
Hakim Sequerah kemudian menyatakan bahawa beliau tidak boleh mengarahkan atau memberitahu media bagaimana hendak membuat laporan kerana ia adalah prerogratif pihak media.
Sebaliknya Hakim Sequerah menyatakan bagi memberikan perspektif situasi yang berlaku dalam mahkamah termasuk bantahan yang dikemukakan oleh pembelaan. – UTUSAN