Warga emas nafi guna dokumen palsu tukar hak milik tanah

Warga emas nafi guna dokumen palsu tukar hak milik tanah

KESEMUA tertuduh diiring keluar anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tujuan penukaran hak milik tanah. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga individu termasuk seorang wanita warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tujuan penukaran hak milik tanah di Kelemak, Alor Gajah sejak Julai 2022.

Tertuduh, Aminah Talip, 68, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya manakala Ayob Osman, 63, dan Norshaliza Said, 41, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh dengan curangnya telah menggunakan borang pindah milik 14A palsu untuk memindahkan bahagian lot tanah milik Aminah Jaudin yang telah meninggal dunia.

Ayob dan Aminah Talip turut didakwa menggunakan akuan berkanun palsu yang mengikrarkan Aminah Talip adalah Aminah Jaudin.

Sementara itu, Ayob bersama seorang lagi yang telah meninggal dunia didakwa atas kesalahan mengikrarkan di hadapan majistret bahawa Md. Yusof Bujang adalah waris yang sah kepada Aminah Jaudin.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah dalam daerah Alor Gajah pada 28 Julai 2022 dan 19 Januari 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Ayob dan Norshaliza secara berasingan turut didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.

Kesalahan itu dilakukan di PDT Alor Gajah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan MITC pada 27 Julai 2022 dan 31 Januari 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan RM15,000 kepada Aminah Talip bagi kedua-dua pertuduhan sementara tiada jaminan kepada Ayob dan Norshaliza kerana telah mengaku salah.

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada Ayob dan Norshaliza, sementara jaminan RM7,000 dibenarkan bagi setiap pertuduhan yang dikenakan terhadap Aminah Talip.

Mohd. Sabri menetapkan 9 Januari 2024 untuk sebutan semula kes bagi fakta dan hukuman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN