Suami isteri didenda RM1,000 mengaku curi kabel hotel

Suami isteri didenda RM1,000 mengaku curi kabel hotel

MAHKAMAH Majistret, Ayer Keroh, Melaka mendenda RM1,000 pasangan suami isteri yang mengaku bersalah menceroboh dan mencuri kabel milik sebuah hotel. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah menceroboh dan mencuri kabel milik sebuah hotel minggu lalu, sepasang suami isteri didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas kedua-dua mereka membuat pengakuan bersalah.

Tertuduh, Ahmad Fikri Mohamad, 28, dan isterinya, Aznurriah Azmi, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nabilah Nizam selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahmad Fikri didapati telah mencuri wayar kabel milik Hotel Emperor dan didakwa mengikut Seksyen 378 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Isterinya pula didakwa melakukan pencerobohan dengan niat melakukan jenayah mengikut Seksyen 441 kanun sama yang boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu dilakukan mereka kira-kira pukul 1 petang di belakang Hotel Emperor, Jalan Munshi Abdullah dalam daerah Melaka Tengah pada 19 Disember 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal diberikan terhadap kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran kepada mereka dan masyarakat.

Mahkamah menjatuhkan denda sebanyak RM1,000 bagi kedua-dua tertuduh atau penjara sebulan sekiranya gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN