Pengawal keselamatan dipenjara tiga bulan, cabul mahasiswi

Pengawal keselamatan dipenjara tiga bulan, mengaku cabul mahasiswi

TERTUDUH diiring anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menggunakan kekerasan untuk mencabul seorang mahasiswi. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah menggunakan kekerasan untuk mencabul seorang mahasiswi di sebuah universiti awam terkemuka di negeri ini, Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang pemuda berusia 24 tahun.

Ini selepas tertuduh, Muhammad Hafas Sharuddin yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengaku bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang penuntut universiti berusia 22 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9.30 pagi di bahagian tepi pintu masuk sebuah kampus universiti awam dalam daerah Melaka Tengah pada 10 Disember 2023.

Mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya telah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal diberikan selepas mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Mahkamah menjatuhkan tiga bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 14 Disember 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN