‘Orang tengah’ sindiket rasuah pegawai JPJ dengan syarikat lori didenda RM56,000

‘Orang tengah’ sindiket rasuah pegawai JPJ dengan syarikat lori didenda RM56,000

TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menerima suapan wang berjumlah keseluruhan RM34,855. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM56,000 kepada seorang lelaki yang bertindak sebagai ‘orang tengah’ untuk urusan suapan antara pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan syarikat-syarikat lori.

Hakim Elesabet Paya Wan memutuskan sedemikian selepas tertuduh, Norsham Ahmad, 51, mengaku bersalah terhadap 20 pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah menerima suapan wang berjumlah keseluruhan RM34,855 melalui transaksi dalam talian daripada lapan buah syarikat lori.

Suapan bertujuan sebagai galakan bagi mendorong dengan cara menjalankan pengaruh peribadi ke atas seorang penjawat awam iaitu pegawai JPJ Melaka untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar Melaka sejak Januari 2017 sehingga Mac 2021.

Berdasarkan Seksyen 163 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama-sama dua pegawai JPJ Melaka telah menubuhkan sindiket dengan nama ‘Saudagar’ bagi tujuan melindungi lori lebih muatan.

Pada peringkat awal, logo yang digunakan sindiket adalah logo minuman ringan terkenal supaya penguat kuasa terlibat dapat mengenal pasti lori yang telah membayar wang perlindungan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat selepas mengambil kira nilai suapan.

Peguam Hafizatul Shahirah Jamari merayu hukuman berbentuk denda rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya membantu isteri berniaga dengan pendapatan sekitar RM100 sehingga RM200 sehari.

Mahkamah menjatuhkan denda keseluruhan sebanyak RM56,000 atau penjara antara satu hingga enam bulan, jika gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN