Cucu didakwa rompak nenek sendiri bersama tunang

Cucu didakwa rompak nenek sendiri bersama tunang

TERTUDUH dihantar ke Penjara Sungai Udang selepas gagal membayar jaminan ditetapkan Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang wanita berusia 22 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan merompak neneknya sendiri bersama tunangnya berumur 19 tahun.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Nurul Sakina Ali Mohammad dan Muhammad Shahezaimie Kamarudin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Difahamkan, pasangan itu merancang melangsungkan perkahwinan pada Februari tahun depan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan dengan menekup muka dan mengambil seutas gelang tangan berwarna emas secara paksa daripada seorang warga emas berusia 74 tahun.

Tertuduh juga didakwa dengan sengaja turut menyebabkan kecederaan terhadap mangsa. Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang di sebuah rumah di Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Disember 2023.

Mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM15,000 dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh.

Peguam Umar Zulkarnain merayu jaminan rendah diberikan dengan tertuduh lelaki hanya bekerja sebagai penjaga go-kart dan perlu menjaga ibunya yang menghidap strok, manakala tertuduh wanita merupakan penjaga stor.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sekali pada setiap bulan dan menetapkan 30 Januari 2024 untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh dibawa ke Penjara Sungai Udang berikutan gagal membayar jaminan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN