Abai tiga anak, ibu terlepas hukuman penjara 20 tahun

Abai tiga anak, ibu terlepas hukuman penjara 20 tahun

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan pindaan mengabaikan tiga anaknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan seorang ibu kepada tiga anak menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan pindaan mengabaikan tiga anaknya.

Tertuduh berusia 41 tahun, Masanizah Roslan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pembantu am sekolah itu didakwa dengan cuai telah meninggalkan tiga anak kandungnya yang ketika kejadian berusia enam, lapan dan 11 tahun tanpa jagaan.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana dalam daerah Melaka Tengah antara 16 Jun sehingga 18 Jun 2021 dan 23 September sehingga 25 September 2021.

Tindakan itu berkemungkinan menyebabkan anak-anaknya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, tertuduh boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam Omar Zulkarnain merayu hukuman diringankan dan perintah bon berkelakuan baik dibenarkan dengan alasan anak guamnya telah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom membantah permohonan perintah bon itu dengan hujah dikhuatiri tidak mencapai sifat hukuman untuk menghalang masyarakat melakukan kesalahan sama.

Mahkamah bagaimanapun melepaskan tertuduh dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan sebanyak RM7,000 di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.

Tertuduh juga diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan di bawah Seksyen 31 (3A) Akta Kanak-kanak 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN