Wanita suku Jakun gagal cabar status Islam sejak berusia 2 tahun - Utusan Malaysia

Wanita suku Jakun gagal cabar status Islam sejak berusia 2 tahun

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita Orang Asli tidak berjaya mencabar kesahihan pemelukan Islam ketika berusia dua tahun selepas Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang menolak saman pemulanya, bulan lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz memutuskan demikian selepas berpuas hati permohonan wanita suku kaum Jakun berusia 30 tahun itu, tidak bermerit.

Wanita berkenaan selaku plaintif turut gagal mendapat perisytiharan untuk kembali menganut adat dan kepercayaan kaum itu tanpa campur tangan pihak-pihak lain.

Mahkamah berpuas hati, plaintif gagal menunjukkan sebarang keterangan bahawa dirinya dibesarkan mengikut adat dan kepercayaan Orang Asli.

Dalam penghakiman bertarikh 5 Oktober lalu yang diperoleh pihak media hari ini, Hakim Zainal Azman berkata, plaintif merupakan seorang wanita Orang Asli daripada suku kaum Jakun dan lahir pada 27 November 1993.

Keterangan kes menunjukkan, bapa plaintif merupakan seorang Islam manakala ibunya memeluk agama itu pada 14 November 1995 ketika anaknya berusia dua tahun.

Plaintif menyatakan, dia tidak pernah memeluk Islam pada tarikh tersebut kerana pada usia itu dia tidak mengucapkan dua kalimah syahadah manakala persetujuan ibu bapanya untuk memeluk Islam, didakwa tidak pernah diperoleh.

Plaintif kemudian memohon mendapatkan tiga perisytiharan bahawa dia bukan penganut agama Islam dan deklarasi perkataan ‘ibu bapa’ dalam kesnya merujuk kepada orang tua kepada seorang anak yang sah taraf.

Sementara deklarasi ketiga ialah hak untuk menganut adat dan kepercayaan sendiri tanpa campur tangan dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan Kerajaan Pahang selaku defendan pertama serta kedua.

Mahkamah bagaimanapun berpuas hati, plaintif seorang individu beragama Islam sebagaimana yang ditakrifkan menurut peruntukan Seksyen 2(1)(d) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 (Pahang).

Menurut ekshibit, hakim ini berkata, Daftar Rekod Mualaf mencatatkan bahawa nama Islam plaintif telah diberikan sejak kecil.

“Hak penjagaan plaintif terletak di bawah ibunya dan apabila dia (ibu) memeluk Islam anutan plaintif akan menurut agama ibu sebagaimana yang diperuntukan di bawah Seksyen 103 enakmen tersebut,” kata hakim berkenaan.

Mahkamah turut berpendapat, berdasarkan kepada rekod, ibu plaintif yang telah memberikan persetujuan memeluk Islam bersama-samanya.

Mengikut isu kedua, hakim berkata, mahkamah merujuk kepada kes Indira Ghandi Mutho melawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa persetujuan ibu dan bapa diperlukan bagi penukaran status agama anak kepada Islam.

“Mahkamah ini berpendapat, persetujuan ibu atau bapa tidak terpakai dalam kes ini, malah ketika dia dilahirkan, bapanya merupakan seorang Muslim sementara ibunya memeluk Islam selepas plaintif dilahirkan dua tahun kemudian,” katanya.

Berhubung deklarasi ketiga pula, jelas bahawa plaintif beragama Islam sejak asal dan dibesarkan menurut agama tersebut oleh ibunya selepas bergelar mualaf. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN