Syed Saddiq fail notis rayuan, kurang 5 jam selepas keputusan diumumkan - Utusan Malaysia

Syed Saddiq fail notis rayuan, kurang 5 jam selepas keputusan diumumkan

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman berbual bersama penyokong yang hadir ketika keluar dari pekarangan mahkamah selepas dijatuhi hukuman penjara 7 tahun, didenda RM 10 juta dan dua sebatan atas kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kurang lima jam selepas Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Muar itu memfailkan rayuan terhadap keputusan yang mendapati beliau bersalah atas pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Peguam Haijan Omar memberitahu pihak media sebentar tadi, notis rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi di sini pukul 3 petang ini.

Beliau memaklumkan, Syed Saddiq, 30, merayu untuk mengetepikan keseluruhan keputusan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan sebatan dua kali.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu perlu memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh 10 hari selepas menerima rekod rayuan.

Ketika menyampaikan keputusannya, hakim berkenaan hanya membacakan keputusan ringkas, tanpa menyertakan alasan penghakiman.

Terdahulu, Syed Saddiq memberitahu, beliau percaya mempunyai alasan yang kukuh untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menghukumnya atas keempat-empat pertuduhan.

Presiden Muda itu berkata, meskipun menghormati keputusan itu, beliau percaya mahkamah adalah penentu dan medan terbaik untuk membersihkan namanya.

“Keputusan (hari ini) bukan mudah untuk ditelan, namun saya menerima seadanya serta menghormati keputusan mahkamah.

“Hasil perbincangan dengan pihak peguam, kami ada kes yang baik untuk difailkan kepada Mahkamah Rayuan dan menjadi penentuan terbaik kepada diri saya,” katanya ketika ditemui pihak media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.

Terdahulu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta serta mengenakannya dua sebatan atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Syed Saddiq selanjutnya berkata, selaku salah seorang penggubal dasar negara (Ahli Parlimen), beliau tetap meletakkan kepercayaan terhadap institusi kehakiman negara. 

Syed Saddiq berkata, usaha mengubah negara bukan terletak pada personaliti atau individu tertentu, sebaliknya atas keperkasaan institusi dan parti.

Beliau berkata, bagi menjadi seorang pemimpin yang mahu memajukan negara, dia perlu menjadi ‘putih daripada putih’ dan mustahak untuk menonjolkannya kepada masyarakat.

“Saya perlu terima seadanya dan sebagai seorang nakhoda, saya perlu lawan bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang maju,” katanya.

Ditanya sama ada beliau bersedia menerima kritikan dan kecaman, Syed Saddiq berkata, perkara itu akan dihadapi dengan hati terbuka seperti mana menerima keputusan yang dikenakan ke atasnya.

“Saya ada mesyuarat tergempar bersama kepimpinan Muda pukul 4 petang ini dan sidang akhbar dilakukan selepas itu.  Ia berhubung dengan keputusan politik saya dan perancangan masa depan Muda sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya