Rogol anak tiri 105 kali, bapa dipenjara 42 tahun, 24 sebatan

Rogol anak tiri 105 kali, bapa dipenjara 42 tahun, 24 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang penganggur yang mengaku merogol anak tirinya yang masih di bawah umur sebanyak 105 kali selama dua tahun, ditempelak oleh Mahkamah Rayuan hari ini sewaktu mengekalkan hukuman penjara 42 tahun dan 24 sebatan maksimum yang dikenakan terhadapnya.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim menyifatkan lelaki berusia 36 tahun itu tidak insaf, takut atau peduli terhadap undang-undang meskipun dihantar ke penjara.

“Kes rogol melibatkan bapa dan datuk semakin berleluasa walaupun mahkamah menjatuhkan hukuman penjara.

“Mereka tidak takut atau peduli dengan undang-undang. Kami tidak yakin bahawa perayu insaf dengan perbuatannya.

“Bapa tiri jenis apa ni, satu kali pun (rogol) tidak boleh maafkan, inikan pula (lebih) 105 kali,” kata Hakim Hadhariah ketika menyampaikan keputusan panel menolak rayuan akhir lelaki berkenaan.

Sementara itu seorang lagi hakim bersidang, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim berkata, perayu bernasib baik kerana didakwa di bawah Kanun Keseksaan, bukan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kata beliau, akta itu memperuntukkan penalti lebih tinggi kerana melibatkan kesalahan dilakukan oleh pihak yang diberi amanah dan kepercayaan.

Dalam pada itu, Hakim Datuk Azmi Ariffin turut meluahkan kekesalannya kerana mangsa sudah tentu ketakutan dan trauma seumur hidup kerana dirogol sebanyak 105 kali selama tempoh dua tahun.

Panel tersebut sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Klang yang menjatuhkan hukuman penjara 42 tahun dan 24 sebatan kerana merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 12 tahun sejak 2018.

Pada 7 Mac 2022, Hakim Datuk Azmi Abdullah mengetepikan hukuman penjara 1,050 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen selepas membenarkan rayuannya.

Hakim Azmi ketika itu berpuas hati, hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen terlalu mengikut perasaan dan jelas terlampau berlebih-lebihan tanpa mempertimbang had umur standard rakyat negara ini.

Beliau berpendirian, had umur lelaki di Malaysia adalah sekitar 70 tahun manakala wanita 75 tahun, meskipun kedua-dua jantina boleh mencapai jangka hayat lebih panjang.

Semasa prosiding, peguam K. A. Ramu yang mewakili perayu memohon mahkamah mempertimbangkan rayuan anak guamnya untuk mengurangkan hukuman kerana sepanjang menjalani hukuman di Penjara Kajang, banyak memberi pengajaran dan perayu ingin kembali semula kepada masyarakat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd. Akhir selaku responden memohon mahkamah mengekalkan hukuman 42 tahun penjara dan 24 sebatan itu.

Kata beliau, mangsa dirogol sejak 2018 dan hanya mempunyai keberanian melarikan diri, dua tahun kemudian dan menceritakan kejadian itu kepada ibu saudaranya. Fakta menunjukkan dia dirogol hampir setiap minggu ketika ibunya keluar bekerja.

“He is ‘sick’. Hukuman 42 tahun penjara adalah sangat wajar, dan dia mempunyai masa untuk bertaubat dalam penjara,” katanya.

Mengikut pertuduhan, perayu didakwa atas 105 pertuduhan merogol anak tirinya di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor sejak 5 Januari 2018 hingga 24 Februari 2020.

Fakta kes menunjukkan, lelaki itu merogol mangsa sebanyak 50 kali pada 2018, 2019 (32 kali) dan 23 kali pada 2020 menjadikan jumlah 105 kali untuk tempoh dua tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebat.

Pada 27 Januari 2021, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman penjara selama 1,050 tahun dan 24 sebatan terhadap perayu selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.

Pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary mengambil masa lima jam untuk diselesaikan sehingga pukul 7.30 malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya