REE: Bekas CEO MBI Kedah dituduh minta rasuah, terima suapan

REE: Bekas CEO MBI Kedah dituduh minta rasuah, terima suapan

MUHAMAD Sobri Osman (kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Muhamad Sobri Osman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bagi berdepan dua pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM4 juta dan menerima suapan sebanyak RM1 juta, pertengahan tahun ini. 

Muhamad Sobri, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut yang dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM4 juta daripada seorang lelaki warganegara Turki, John Abad Pe pada 20 Mei 2023 di Hotel Centara, Hatyai, Thailand.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima wang tunai berjumlah RM1 juta secara rasuah dari John, melalui seorang wanita, Liyana Mamat @ Khalid, 40.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 29 Mei 2023 di tempat letak kereta Wisma Darul Aman dekat Jalan Tunku Bendahara di Alor Setar.

Mengikut kertas pertuduhan,  tindakan meminta dan menerima rasuah itu dibuat sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn. Bhd. menjalankan usaha sama perlombongan mineral berharga tersebut, melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBI Kedah dengan syarikat berkenaan.

Pertuduhan dikendalikan tiga Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya iaitu Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha Rahmat serta Muhammad Asraf Mohamed Tahir manakala tertuduh diwakili peguam, Ibrahim Ismail serta Mohammed Zamri Ibrahim.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan supaya mahkamah menetapkan RM100,000 sebagai kadar jaminan dengan seorang penjamin. Mahkamah juga dicadangkan supaya menetapkan beberapa syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan passport antarabangsa, melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan hingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Pihak pembelaan yang bangun selepas itu memohon supaya kadar jaminan ditetapkan sebanyak RM60,000 dengan alasan tertuduh sudah tidak lagi bergelar CEO MBI manakala isterinya juga tidak bekerja. Selain itu, tertuduh juga didakwa sentiasa memberi kerjasama penuh kepada siasatan dijalankan SPRM.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan kadar jaminan RM100,000 oleh seorang penjamin dengan syarat-syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Januari 2024.

Difahamkan tertuduh membayar jaminan ditetapkan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN